Saturday, August 22, 2009

Selamat Datang Ramadhan 1430H

Selamat datang Ramadhan Al-Mubarak. Tempoh masa yang penuh keberkatan dan waktu yang diturunkan Al-Quran yang suci.

Alhamdulillah dipanjangkan umur untuk menikmati Ramadhan sekali lagi. Semoga dipanjangkan umur, dipermudahkan urusan dan dimurahkan rezeki untuk beribadah dalam Ramadhan kali ini.

Sabda Baginda:

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

Pastinya ibadah yang datang seiring dan sejalan dengan Ramadhan ialah puasa.

Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa. (Al-Baqarah:183)

Semoga ibadah puasa yang dilaksanakan bukan setakat menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan nafsu dari pemikiran dan perbuatan yang bathil dan zalim.

Insya Allah.



Friday, August 07, 2009

Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 dinar merupakan petikan frasa penghujung ayat ke-2 dan ayat ke-3 dari surah Al-Thalaaq (surah ke-65). Terjemahannya seperti berikut:
65:2 ..... Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar
65:3 Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu
Kita sering melihat kaligrafi ayat 1000 dinar ini digantung sebagai perhiasan di pejabat, kedai dan restoren orang Islam dengan kepercayaan bahawa ayat ini akan mendatangkan keuntungan kepada mereka. Malah ada yang mempercayai ajaran khurafat dengan menjadikannya tangkal untuk dipakai untuk mendapat keuntungan segera.

Persoalannya, bagaimana kita meletakkan nilai wahyu Allah (ayat 1000 dinar) ini jika ianya hanya dipakai atau dibeli dan digantung sebagai perhiasan dan disertai pula dengan kepercayaan nenek moyang tanpa difahami makna petunjuk dan peraturan yang Tuhan mahu hambaNya fahami, ikuti dan laksanakan?

Perumpamaannya bagaikan kita mendapat peraturan-peraturan JPJ untuk sebagaipetunjuk ke arah menjaga keselamatan kita sewaktu memandu di jalan raya, tetapi kita hanya membaca tanpa memahami peraturan-peraturan itu, mencetak dan menggantungnya di dalam kereta tetapi masih memandu ikut suka hati atau bersangka-sangka sahaja tanpa berdasarkan peraturan yang sebenarnya. Adakah peraturan itu akan memberi kesejahteraan kepada kita jika digunakan dalam bentuk itu.

Bagi yang memerhati dengan tenang ayat 1000 dinar tersebut, terdapat dua kata kunci utama dalam ayat tersebut. Bertakwa dan bertawakkal.

Untuk mendapat pertolongan jalan keluar atau jalan penyelesaian kepada masalah-masalah kita atau mendapat rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah, maka perlulah bertakwa bersungguh-sungguh terlebih dahulu yang berdasarkan petunjuk dariNya, bukan usaha takwa yang berdasarkan sangkaan kita semata-mata.
Dan apabila sudah bertakwa, barulah kita bertawakkal padaNya. Pertolongan Allah itu pasti cukup untuk menyelesaikan masalah kita. Maka kadar ketentuan untuk mendapat pertolongan dan kurnia jalan penyelesaian dari Allah bergantung pada komitmen usaha takwa dan tawakkal kita.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti benar dan Allah adalah sebaik-baik pemberi dan penunai janji.


Labels: ,